Bangsa, menurut Wikipedia Ensiklopedia Bebas mempunyai dua maksud utama iaitu jenis manusia dari satu asal keturunan (contoh : bangsa Melayu) dan kumpulan manusia dalam satu ikatan ketatanegaraan, contohnya bangsa Malaysia dan bangsa Roma. John Stuart Mill mendefinisikan bangsa sebagai rumpun manusia yang terikat oleh rasa taksub bersama dan lebih rela bekerjasama sesama mereka, berbanding dengan rumpun bangsa yang lain. Lazimnya, rumpun tersebut terjalin menerusi kesamaan bahasa, kesatuan wilayah, budaya, sejarah dan agama.
Kaum pula, mengikut Kamus Pelajar Bahasa Malaysia, Cetakan Kesembilan 1993, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membawa maksud golongan orang sebagai sebahagian daripada satu bangsa yang besar; suku bangsa. Kaum juga boleh ditakrifkan sebagai perkataan lain bagi bangsa. Malaysia misalnya mempunyai penduduk yang terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan Baba dan Nyonya di mana kaum-kaum tersebut berbeza dari segi pakaian (Melayu: Kurung, Baju Melayu, pelikat; Cina: Cheongsam, Sam Fu; India: sari, serban, kurta, dhorti), makanan, perayaan, tarian, kepercayaan, bahasa, alat muzik, dan juga permainan.
Daripada sumber Wikipedia Ensiklopedia Bebas, kelompok etnik dilabelkan sebagai kelompok manusia yang anggotanya mengaitkan diri melalui sesuatu warisan sepunya, baik warisan yang benar mahupun yang dianggap. Kelompok diri sesuatu etnik berbeza daripada kelompok yang lain dari sudut budaya, bahasa, agama, dan tingkah laku yang mana akhirnya membentuk identiti etnik tersebut. Etnik juga didefinisikan sebagai sekelompok manusia yang mengamalkan budaya yang hampir seragam, dari segi adat resam, pakaian, bahasa, kegiatan ekonomi dan sebagainya. (A Zamri Mansor – Hubungan Etnik).
Mohd Koharuddin Mohd Balwi (2005), dalam bukunya yang berjudul Latar Belakang Budaya dan Peradaban Melayu menyatakan konsep ras digunakan oleh ahli antropologi yang merujuk kepada enam kelompok manusia terbesar dunia, termasuklah Causcasoid(Kulit Putih), Negroid (Kulit Hitam), Mongoloid (Kulit Kuning), Australoid (Penduduk asal Australia dan New Guinea), Red Indian (Kulit Merah; asalnya dari benua Asia atau Alam Melayu) dan Melayu-Polinesia (Kulit Ciku Masak; sawo matang). Enam kelompok tersebut adalah berdasarkan perbezaan ciri fizikal, iaitu warna kulit, bentuk muka, hidung, rambut, genetik, linguistik dan budaya.
No comments:
Post a Comment